(TERBARU) HAMAS TIUP SEMBOYAN PERANG. ALLAHUAKHBAR, DOAKAN KEJAYAAN MEREKA.

PEMIMPIN Hamas, Ismail Haniya, menyeru intifada baru penduduk Palestin berikutan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donlad Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Hanya intifada boleh menentang dasar Zionis disokong Amerika ini,” kata ketua pergerakan bersenjata Palestin yang mentadbir Semenanjung Gaza dalam ucapannya.

Sementara itu, Israel meningkatkan jumlah anggota tenteranya di Tebing Barat yang didudukinya.

“Selepas menilai keadaan semasa, keputusan dibuat untuk menambah jumlah batalion di kawasan terbabit (Tebing Barat) selain perisikan dan pertahanan dalaman.

“Selain itu, lebih ramai tentera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga,” kata kenyataan tentera Israel.

Tindakan Trump itu dianggap mencurah minyak ke api marak serta dibantah hampir seluruh dunia, termasuk sekutu rapatnya, Eropah serta Britain dan PBB.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang mengecam tindakan Trump, berkata ia menyebabkan rantau itu kini menjadi amat panas.

“Tindakan ini meletakkan dunia, terutama rantau berkenaan (Asia Barat) dalam api yang marak.

“Hei Trump, apa yang anda mahu buat? Pendekatan jenis apa ini?

“Pemimpin politik tidak menegangkan keadaan, mereka berusaha mencari keamanan,” kata Erdogan di Ankara.

Sambil itu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas diminta isytihar Perjanjian Damai Oslo 1993 sebagai gagal.

Gesaan dibuat pegawai kanan Hamas, Ismail Radwan, pada Rabu, susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Berdasarkan perjanjian berkenaan, status akhir berhubung Baitulmaqdis sepatutnya dibincangkan dalam siri rundingan damai seterusnya. Hamas dalam pada itu menolak keputusan Trump itu dan menyifatkan ia sebagai satu tindakan pencerobohan.

Menurut Ismail, keputusan Trump itu perlu dihalang dengan apa juga cara.

“Kami menolak keputusan ini yang jelas satu pencerobohan ke atas rakyat, bangsa, sebab dan prinsip. Ia juga satu langkah bahaya dalam berdepan konflik pencerobohan Zionis,” kata Ismail pada satu sidang media di Gaza.

Baitulmaqdis ditawan Israel dalam pencerobohan tentera Zionis pada 1967.

Terdahulu, Trump mencipta sejarah sebagai presiden pertama AS mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pada masa sama, beliau mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis

Baitulmaqdis ibu kota Israel: Malaysia tolak selama-lamanya

Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan, Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.

Semasa menyampaikan ucapan dasar ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, Najib yang juga Presiden UMNO yakin dan percaya umat Islam tidak dapat menerima selama-lamanya tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf satu daripada tiga kota suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel.

“Kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai negara Israel sampai bila-bila,” katanya yang disambut dengan laungan Allahu Akhbar daripada para perwakilan di dalam dewan dan anggota UMNO di luar dewan yang mengikuti lintas langsung majlis itu.

Tetamu-tetamu dari Palestin yang menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung itu atas jemputan UMNO itu, juga bangun berdiri tanda memberi penghormatan terhadap kenyataan tersebut.

Najib seterusnya mengajak para pimpinan parti, para perwakilan, anggota-anggota yang hadir pada perhimpunan itu serta mereka yang berada di mana sahaja untuk bangun dan menzahirkan pendirian tersebut dengan selantang-lantangnya.

Najib berkata sependapat dengan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ‘kita perlu buta warna dalam hal kemanusiaan’.

“Satu perjuangan bukan sahaja dari suara umat Islam Malaysia, malah, suara kemanusiaan dunia yang diwakili kerajaan Malaysia pimpinan UMNO,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, setelah AS melaksanakan dasar berhati-hati sejak berdekad lamanya dan tidak mengendahkan amaran tentang tindakan bersejarah yang mungkin mencetuskan keganasan di Timur Tengah.

Dilaporkan bahawa Palestin dan para pemimpin dunia Arab mengutuk tindakan itu, yang menyaksikan AS memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke kota suci berkenaan.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia akan terus prihatin dan berperanan aktif di seluruh dunia, khususnya dalam membantu saudara seakidah di serata dunia, umpamanya di Myanmar dan Palestin.

“UMNO tidak pernah dan tidak sesekali berkompromi dengan apa-apa jua hal yang membabitkan penghinaan ke atas kesucian dan tingginya agama Islam serta syiarnya, bukan sahaja di tanah air ini, bahkan di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Beliau juga menarik perhatian para perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu bahawa Malaysia adalah negara pertama yang menyediakan Hospital Medan di Cox’s Baazar, Bangladesh untuk pelarian etnik Rohingya.

Sumber : HarianMetro via JariViral

Leave a Reply