Solat Jemaah Selepas Sesi Persekolahan Adalah Amalan Bodoh – Zaid Ibrahim

Usaha Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan mewajibkan pelajar sekolah seluruh kawasan berkenaan untuk solat berjemaah sebelum pulang ke sekolah.

Perkara itu disifatkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai menyusahkan pelajar.

Menurutnya alasan arahan itu dikeluarkan untuk membina karakter warga sekolah dengan mendirikan solat adalah mengarut.

Datuk Zaid Ibrahim juga berkata “ini adalah satu dari banyak lagi perkara bodoh yang pendidik kita sebarkan kepada pelajar kita, sia-sia sahaja. Nak bina karakter? Ajar mereka makna kejujuran, integriti dan kerja keras”.

Tambahnya, ajar mereka bersikap tegas dan pengorbanan. Tunjukkan mereka contoh tokoh masyarakat yang menunjukkan karakter yang kuat.

“Amalan keagamaan ini semua menyusahkan pelajar, yang sudahpun terbeban dengan banyak lagi amalan-amalan lain sedia ada,” ujarnya.

Kenyataan Zaid adalah respon kepada arahan Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd Razali Mustafar yang mewajibkan pelajar mendirikan solat fardhu secara berjemaah selepas tamat persekolahan.

“Demi kecemerlangan murid-murid, kita meletakkan 5 fokus utama iaitu pembinaan karakter peribadi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pemimpin pertengahan (guru) dan bijak sifir.

“Untuk itu, setiap sekolah menganjurkan solat berjemaah di kawasan sekolah dan untuk itu (solat) jangan sempitkan pemikiran untuk membina surau baru atau membesarkannya”.

Asalkan tempat itu masih mengarah kiblat. Solat boleh didirikan di dewan atau tempat yang bersesuaian tambah Pegawai Pendidikan Daerah tersebut.

Zaid turut mendakwa bahawa arahan mewajibkan solat secara berjemaah selepas sesi persekolahan merupakan amalan yang sempit.

Perkara ini tidak membantu masyarakat Melayu untuk lebih pintar belajar, memahami tanggungjawab peribadi atau mendidik masyarakat berdisiplin.

“Peningkatan ritual keagamaan di sekolah adalah satu lagi tanda bahawa pemimpin UMNO, pendidik dan pegawai telah kehilangan hilang akal. Ia menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak lagi minat atau keupayaan lain untuk disampaikan kepada pelajar. Mereka sendiri mungkin mempunyai karakter yang lemah,” ujarnya.

Mengulas isu sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa berkata, solat berjemaah langsung tidak mengganggu aktiviti harian pelajar ekoran waktu diluangkan hanyalah antara 7 hingga 10 minit sahaja.

Mohd Khairil berkata, ini akan membantu dalam membentuk semangat kebangsaan di kalangan pelajar yang berbilang bangsa supaya memahami dan menghormati agama lain.

Melalui cara ini, kita dapat memberi pendedahan kepada pelajar yang bukan Islam mengenai kewajiban bagi umat Islam supaya menjaga solat 5 waktu.

“Kebanyakannya mungkin sudah tahu, tetapi langkah sedemikian akan membiasakan lagi mereka (bukan Islam) dengan perkara itu. Di mana lagi tempatnya untuk membentuk pelajar, kalau bukan di sekolah,” ujarnya.

 

Tambah beliau lagi, dengan mengarahkan pelajar solat berjemaah, pihak sekolah dapat memastikan pelajar-pelajar melaksanakan perkara wajib yang merupakan tiang agama.

“Lebih selamat apabila mengarahkan pelajar untuk menunaikan solat terlebih dulu sebelum pulang. Dengan berbuat demikian, tanggungjawab sekolah dalam bab itu sudah selesai. Sekali gus menunjukkan pihak sekolah mengambil berat soal ibadat pelajar memandangkan solat adalah tiang agama,” katanya.

Leave a Reply