Qayyum Dedah Rahsia Keluar Dari Kelantan

BEKAS tonggak pertahanan Kelantan, Mohd. Qayyum Marjoni Sabil menegaskan, perpindahannya ke pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) bukan kerana faktor gaji, sebaliknya mahu mengembangkan bakatnya dalam sukan bola sepak.

Qayyum berkata, dia tekad menjadikan PKNS FC sebagai platform untuk mengintai ­peluang menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang.

“Sudah menjadi impian mana-mana pemain bola sepak untuk mewakili negara kerana ia merupakan suatu pengiktirafan.

“Jadi saya tekad untuk memberikan aksi terbaik bersama PKNS FC pada musim depan sebagai membalas kepercayaan pasukan ini yang berminat mendapatkan khidmat saya,” kata­nya.

Qayyum memberitahu, dia juga berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang memberi peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam sukan ber­kenaan.

Katanya, tanpa bantuan KAFA mungkin dia tidak akan menjadi salah seorang pemain bola sepak profesional di negara ini.

“Restu yang diberikan oleh KAFA untuk membolehkan saya berhijrah akan dijadikan sebagai azimat untuk lebih maju dalam bola sepak pada masa depan,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga sudah bersedia untuk bekerja lebih keras pada musim depan bagi mendapatkan kepercayaan dalam kesebelasan utama PKNS FC.

Katanya, dia menjangkakan saingan sengit bakal dihadapi memandangkan PKNS FC mempunyai ramai pemain hebat di posisi bek kiri.

“Walaupun sering mendapat kepercayaan sebagai pemain utama dalam pasukan Kelantan, namun ia bukan tiket terbaik buat saya untuk mengambil mudah.

“Sebagai pemain, saya perlu bersedia untuk bersaing

bagi merebut tempat nanti,” ujarnya.

Qayyum berkata, dia menjadikan nasihat yang diberikan oleh tonggak berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin sebagai azimat bagi memajukan diri dalam bola sepak.

“Hanya keikhlasan dan kejujuran akan memacu kejayaan seorang pemain selain kerja keras,” katanya.

Sumber : Kosmo

Leave a Reply