NI TAK BOLEH KATA DARURAT, KATA ZAMIHAN

Penceramah kontroversi Zamihan Mat Zain berkata kejadian masyarakat Cina tumpang berteduh di sebuah surau di Georgetown, Pulau Pinang ketika banjir besar tidak sepatutnya berlaku. Katanya, situasi itu masih tidak boleh dikelaskan sebagai darurat.
“Situasi gambar di atas tidak sepatutnya berlaku,” kata pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sebelum ini berdepan kontroversi mengkritik sultan Johor dalam isu dobi khusus untuk orang Islam.

“Ia tidak boleh dikategorikan sebagai darurat kerana masih ada ikhtiar lain untuk keperluan mereka.”

Walaupun terdapat perbezaan pendapat pendapat berkaitan hukum agama, rata-rata warga maya memuji langkah bilal Surau Taman Free School itu yang mempelawa sekumpulan masyarakat Cina, lelaki dan perempuan dewasa, berteduh di rumah ibadat itu.

Berdasarkan gambar yang tular, kelihatan seorang lelaki yang tidak berbaju kesejukan, seorang wanita berseluar pendek paras lutut, manakala yang lain sedang duduk atau berbaring menghilangkan kepenatan mereka.

Sapno Tukijo, 50 dilaporkan berkata penduduk bukan Islam itu pada asalnya mahu menumpang di kuil berhampiran tetapi dihalang arus deras, menyebabkan beliau mempelawanya ke surau demi keselamatan.

Mengakui sedar akan dikecam, Sapno berkata beliau tentu akan lebih rasa bersalah melihat mangsa banjir tiada arah tujuan atau lebih buruk dihanyutkan arus deras.

Add Comment