MUDAHNYA LANGSAI HUTANG PTPTN

(Amaran. Coretan panjang)

Kebanyakan pelajar lepasan universiti akan ada PTPTN kan. Melainkan bagi pelajar yang berduit atau ditaja oleh mana-mana biasiswa. Aku ada PTPTN dengan jumlah keseluruhan lebih kurang RM15,000.
Tamat universiti, aku berhijrah dari Terengganu ke Kuala Lumpur untuk cari rezeki. Tahun pertama kerja di KL, aku tak dapat nak bayar lagi PTPTN atas kekangan gaji yang kecil dan kos sara hidup di ibukota. Maka, tahun pertama tu memang tak bayar langsung.

Tahun kedua, dapat kerja yang lebih baik dengan gaji yang kira boleh kata cukup makan. Masa tu, dah niat kat hati, nak bayar PTPTN. Tapi masa tu mungkin sebab sikap ambil ringan, aku cuma bayar RM50 sebulan sedangkan ansuran sepatutnya RM135 sebulan. Bisik hati masa tu, tak apa lah. Janji bayar walaupun tak penuh. Kadang-kadang ada juga tak bayar. Macam tu lah cara bayaran aku pada PTPTN untuk tahun kedua sehingga awal tahun 2016.

Tahun 2016, PTPTN dah keluarkan arahan baru untuk semua peminjam PTPTN yang berstatus penjawat awam iaitu wajib bayar PTPTN dengan cara potongan gaji. Awal 2016, PTPTN ada datang ke pejabat untuk bincang berkenaan PTPTN. Lepas dah diterangkan panjang lebar, aku diberitahu yang aku ada tunggakan sebanyak RM5000. Walaupun selepas tu bayar secara potongan gaji, tunggakan tetap akan wujud kata pegawai PTPTN dan kena langsaikan. Aku memang tak ada jumlah sebesar tu jadi aku minta untuk selesaikan tunggakan tu pada akhir tahun pinjaman dan pegawai PTPTN tu kata boleh cuma status pada CCRIS tak cantik dan risiko untuk di senarai hitam Imigresen untuk ke luar negara tu tinggi. Nak guna KWSP untuk langsaikan tunggakan, aku rasa macam tak berbaloi jadi aku ambil keputusan untuk biarkan saja tunggakan dan teruskan bayar secara potongan gaji.

Bila dah mula potongan gaji, memang terasa juga bebannya. Sebelum ni, boleh lah tak bayar 1 atau 2 bulan. Kali ni, suka atau tak, setiap bulan gaji akan dipotong. Awal 2017, terima emel dari pihak PTPTN yang maklumkan tunggakan yang aku ada tu akan dimasukkan dalam pinjaman melalui penjadualan semula secara automatik. Jadi aku tak perlu mohon, semuanya automatik. Dalam tempoh beberapa hari saja, penjadualan semula selesai dan bermakna bermula waktu tu, aku dah tak ada tunggakan. Tapi masih belum selesai sebab aku masih ada pinjaman PTPTN yang perlu dibayar setiap bulan.

Bulan lepas aku saja semak baki akaun 2 KWSP. Lepas tu aku semak pula baki PTPTN. Terdetik niat nak langsaikan PTPTN guna akaun 2 KWSP. Tapi tengok baki akaun 2 KWSP kurang dari baki PTPTN. Bermaksud, kalau nak juga selesaikan PTPTN, aku kena tambah lagi lebih kurang RM2000. Baru teringat yang PTPTN tawarkan diskaun 20% untuk pembayaran penuh.

Aku terus hubungi pegawai PTPTN bertanyakan jumlah yang patut dibayar untuk pembayaran penuh selepas ambil kira diskaun 20%. Alhamdulillah, baki akaun 2 KWSP cukup untuk langsaikan PTPTN. Proses untuk pembayaran penuh juga memang mudah.

1) Mohon untuk pengeluaran pendidikan pada portal KWSP. Akaun portal KWSP ni nak kena daftarkan dulu tapi kena ke pejabat KWSP untuk daftar akaun KWSP. Kena guna kiosk yang disediakan.
2) Dalam tempoh lebih kurang 3 hari, KWSP minta hadir ke cawangan KWSP untuk proses pengesahan cap jari dan kena bawa dokumen kad pengenalan (salinan dan ori), transkrip (salinan dan ori) dan skroll (salinan dan ori).
3) Lebih kurang seminggu lebih macam tu, KWSP akan maklumkan yang pengeluaran berjaya dan dikreditkan ke akaun PTPTN.

4) PTPTN ambil masa lebih kurang 3 minggu dari tarikh KWSP bayar kepada PTPTN untuk tujuan pengesahan dan semakan. Selepas tu, PTPTN akan keluarkan surat penyelesaian hutang yang menandakan dah bebas dari hutang PTPTN. Kalau ada potongan gaji, PTPTN juga akan keluarkan surat kepada majikan untuk hentikan potongan gaji.
Semudah itu untuk langsaikan PTPTN. Keseluruhan proses ambil masa hanya 1 bulan. Sekarang, aku dah bebas sepenuhnya dari PTPTN. Apa faedah aku dapat? Rekod CCRIS dah bersih dari PTPTN, tiada lagi senarai hitam imigresen, komitmen bulanan dah berkurang dan paling penting adalah ketenangan fikiran. Ya. Aku ada lagi hutang lain tapi itu pun aku dah rancang dari awal untuk selesaikan.

Jadi, kalau korang ada baki akaun 2 KWSP yang mengcukupi, langsaikan lah PTPTN. Biar kita ada perancangan untuk selesaikan hutang, bukan lari dari hutang. Nanti nak ke luar negara, tak pasal tak boleh lepas sebab ada tunggakan PTPTN. Sebelum semua tu jadi, segeralah selesaikan PTPTN. Kalau tak cukup untuk pembayaran penuh, selesaikan tunggakan saja pun boleh guna akaun 2 KWSP dan lepas tu kena berazam untuk konsisten bayar ansuran yang ditetapkan.

Sumber : Wan Afiq Azri

Add Comment