Mengejutkan Kelantan lepaskan Ferdinand “DRAGON” Sinaga!!

KOTA BHARU – Ferdinand Sinaga dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mencapai persetujuan bersama penamatan kontrak kedua-dua pihak sekali gus berpisah secara rasmi hari ini.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, perbincangan lanjut dengan Ferdinand menyaksikan pemain import Indonesia itu dilepaskan atas faktor keluarga memandangkan isterinya dijangka bersalin dalam masa terdekat.

“Dia memilih untuk keluar lebih awal daripada pasukan ini tanpa menuntut apa-apa pampasan. Kontrak dia berakhir hari ini dan Kafa melunaskan gaji penuh dia untuk bulan ini.

“Dia menunjukkan sikap tolak ansur dan kita sangat menghargai tindakannya. Kafa mengucapkan terima kasih di atas sumbangannya walaupun hanya tempoh singkat dia beraksi bersama Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Ferdinand menyertai skuad pantai timur itu atas tiket kuota pemain import Asean, awal Januari lalu, dan difahamkan bakal kembali ke pangkuan kelab lamanya, PSM Makassar di bawah kendalian Robert Alberts.

Bibi Ramjani memberitahu, keputusan melepaskan Ferdinand dibuat bagi membolehkan pemain sayap yang terkenal dengan jolokan The Dragon itu mencari pasukan baharu.

“Buat masa ini kita belum fikir lagi penggantinya kerana Kafa masih menunggu rayuan setelah berdepan hukuman daripada FMLLP (Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga memaklumkan pengguguran Mohd Syafiq Abd Rahman sekali gus menjadi pemain tempatan ketiga selepas Ahmad Shukri Ab Hamid dan Hattaphon Bun An meninggalkan Kelantan.

“Mohd Syafiq ni kita tak daftar (bersama pasukan) dan ini pun (penamatan kontrak) atas persetujuan bersama. Kita setuju bayaran pampasan dua bulan gaji kepada dia,” katanya.

Leave a Reply