Megat Nordin Meninggal Dunia

PENYANYI dikir barat terkenal Kelantan, Nordin Yusoff atau lebih dikenali sebagai Megat Nordin menghembus nafas terakhir di rumah bapanya, di Kampung Kenali, Kubang Kerian, pada 11.50 pagi ini.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 56 tahun di sisi keluarganya akibat penyakit kanser hati.

Isteri arwah, Khoirunnisa Madiyoh, 48, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Arwah dijangka dikebumikan petang ini,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, arwah terlantar di rumahnya di Kampung Chepa, Kota Bharu, berikutan penyakit kanser hati.

Megat Nordin dikenali dalam kalangan penggiat dan peminat dikir barat di negara ini dikesan menghidap penyakit itu sejak Ogos tahun lalu.

Dia yang aktif sejak 1980-an cukup dikenali dengan lagunya ‘Ambo Ghaso Berkene’, ‘Tinggalah Kasih’ dan ‘Hidup Usia Remaja’.

Dia juga pernah menyertai program Kilauan Emas 4 pada 2014 dan memperoleh tempat keempat.

Pada masa sama, dia turut memperoleh beberapa anugerah termasuk Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Kelantan 2016.

Bagaimanapun, sejak awal bulan ini penyakit bapa tiga anak itu semakin serius dan kini dia hanya mampu terlantar di rumahnya.

Add Comment