Kuantan FA ‘ketuai’ senarai pasukan tidak bayar gaji

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuantan (Kuantan FA) untuk melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM145,250 kepada enam pemain pasukan itu sebelum 15 Jan depan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Status FAM kali ketiga penggal 2017-2021, yang dipengerusikan Naib Presiden FAM Mohd Joehari Ayub, semalam.

Kuantan FA perlu membayar tunggakan RM36,100 kepada Amirullah Abd Razab; Mohd Shafiq Mat Isa (RM36,000); Muhammad Nur Zhafri Zaini (RM27,800); Nabilah Khan Razali (RM26,600); Mohd Fiqri Mohd Abdullah (RM11,250) dan Mohd Hasmie Aziz (RM7,500).

“Jika Kuantan FA gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) diarah membayar pampasan gaji RM60,000 kepada K. Thanaraj dan RM58,000 kepada Mohd Iqbal Mohd Suhimi dalam tempoh 30 hari akibat penamatan kontrak secara sebelah pihak.

Jawatankuasa itu turut membuat keputusan Kelab Bola Sepak Felcra (Felcra FC) harus membayar pampasan gaji RM65,000 kepada Azi Shahril Azmi dalam 30 hari kerana penamatan kontrak secara sebelah pihak.

Sementara Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) juga dikehendaki membayar tunggakan gaji RM6,000 dalam tempoh 14 hari kepada Muhammad Elfie Elyaz Harizam.

Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula dikehendaki membayar tunggakan gaji berjumlah RM72,000 dan tunggakan elaun perumahan RM9,000 dalam masa 30 hari kepada bekas pemainnya, Razi Effendi Suhit.

Sementara itu, tuntutan gaji yang dikemukakan empat pemain Kelab Bola Sepak DYS melibatkan Zainizam Marjan, Mohd Reithudin Ag Emran, Razid Gafar dan Mohd June Azrul Lalah terhadap kelab itu, ditolak sepenuhnya jawatankuasa berkenaan.- BERNAMA

Leave a Reply