Jangan biar jawatan Presiden Kafa kosong lama-lama

KERUSI Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) perlu diisi segera bagi memudahkan penyelesaian beberapa masalah.

Bekas Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan Kafa mempercepatkan pemilihan tanpa menunggu sehingga tahun hadapan dilihat sebagai langkah yang baik.

“Perkara ini pernah dilakukan pasukan lain seperti Johor Darul Takzim (JDT) apabila ketika Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) ingin mengambil alih, proses pemilihan dipercepatkan.

“Sejak diambil alih JDT telah mengalami satu transformasi dan kini menjadi satu pasukan yang berjaya hasil inisiatif TMJ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Umno Bahagian Mersing 2017 di Dewan Jubli Intan, Mersing.

Annuar berkata, perkara sama juga akan berlaku di Kelantan.

Katanya, mempercepatkan pemilihan akan memberi masa cukup kepada orang baharu kerana Kelantan pada ketika ini sedang menghadapi beberapa masalah yang perlu diselamatkan.

“Sekarang apabila ada kedengaran suara ada yang ingin menawarkan diri, saya bersyukur. Apa yang saya bimbang, takut tak ada (menawarkan diri),” katanya.

Beliau berkata, pada saat ini, ada kedengaran dua pengasas produk kosmetik yang turut berminat untuk bersama Kelantan.

“Saya mengalu-alukan kehadiran mereka. Bola sepak di Kelantan, kalau kita tak pakat-pakat jaga siapa lagikan.

“Kalau ditinggalkan begitu sahaja, Kelantan tak main bola sepak, segan pula dengan JDT. Dulu kita hebat, JDT nak Mat Yo (Norsharul Idlan Talaha), kita bagi, JDT nak Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak kita kasi.

“Sehingga kini, JDT mahukan Ghadarr, kita bagi. Itu diplomasi bola sepak. Saya pun ada hubungan baik dengan TMJ,” katanya.

Menurutnya, TMJ sudah menjadi ikon dan tidak perlu menafikan segala kejayaannya.

“Sebab itulah ketika saya dicalonkan sebagai Presiden Bolasepak Malaysia (FAM) dan TMJ turut bersedia berkorban, saya beri laluan.

“Tidak pula saya berebut (jawatan itu). Saya tahu beliau mampu daripada saya. Begitu juga di Kelantan, bila ada orang yang nak bantu, saya alu-alukan.

“Termasuklah pengasas kosmetik Datuk Seri Vida. Mungkin ini presiden wanita bola sepak pertama (Kafa),” katanya.

Sumber : sinarharian.com.my

Add Comment