Hotel larang bertudung boleh didakwa !!!

SHAH ALAM – Hotel yang melarang pekerja wanita Islam bertudung boleh didakwa.

Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, tindakan itu jelas bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan setiap orang Islam berhak mengamalkan ajaran agamanya tanpa halangan daripada mana-mana pihak, selaras dengan Islam sebagai agama persekutuan.

“Kami bantah tindakan segelintir hotel yang mengarahkan pekerja wanita mereka menanggalkan tudung. Alasan kononnya tindakan itu selari dengan SOP ditetapkan tidak boleh diterima sama sekali.

“Ini kerana, dari segi undang-undang, sekiranya betul terdapat ada peraturan atau SOP sedemikian, ia boleh dianggap sebagai ultra-vires (bertentangan) dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, peraturan sedemikian tidak sah dan terbatal,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Salkukhairi berkata, tindakan itu juga boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual terhadap pekerja wanita Muslim yang inginmenjalankan tugas.

Justeru, beliau menasihati pekerja wanita yang diarahkan majikan membuka tudung membuat laporan polis dan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja atau Jabatan Perhubungan Perusahaan bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka.

Add Comment