Hati-hati dengan ayat-ayat cinta African Scam

Secara purata kira-kira lima wanita di negara ini menjadi mangsa African Scam setiap hari.

Angka ini berdasarkan sejumlah 943 wanita yang menjadi mangsa cinta palsu Awang Hitam dalam tempoh enam bulan yang bertindak melesapkan jutaan ringgit wang mangsa.

Berdasarkan angka kes dikumpul, seramai 421 wanita Melayu mewakili 45 peratus jumlah keseluruhan mangsa direkodkan dalam tempoh berkenaan.

Ini diikuti wanita berbangsa Cina seramai 330 orang (35 peratus) dan mangsa India seramai 103 individu (11 peratus).

Untuk rekod sebanyak 1,190 laporan membabitkan kerugian RM47.2 juta diterima pihak berkuasa berkaitan penipuan African Scam bagi enam bulan pertama tahun ini.

Berdasarkan laporan Harian Metro semalam, sunyi tanpa cinta antara faktor utama empat golongan wanita membabitkan warga emas, ibu tunggal, janda dan anak dara lanjut usia terus menjadi mangsa penipuan sindiket cinta Afrika.

Saya sendiri tidak pasti mantera apa yang dipakai Mat Afrika berkenaan sehingga golongan wanita ini tidak pernah serik walaupun semua orang tahu jenayah ini bukan lagi asing di Malaysia.

Dalam sedekad terakhir ini, media sudah acapkali melaporkan aktiviti jenayah terancang seumpama ini.

Pihak polis juga sudah letih memberi nasihat, menangkap si pelaku, memasang perangkap dan melancarkan pelbagai kempen kesedaran.

Begitu juga dengan si pelaku. Tidak sedikit juga yang berjaya diberkas dan diheret ke mahkamah di atas jenayah yang dilakukan.

Tapi itulah, orang akan buat apa saja demi cinta. Ketika hidup kosong dan sunyi tiba-tiba ada si jejaka ‘tampan’ datang menawarkan diri untuk mengisi ruang hati…apa lagi ibarat orang mengantuk disorongkan bantal maka berbungalah hati yang sudah lama tidak disayangi.

Seperti biasa, di pelaku akan menyamar dengan menggunakan gambar lelaki tampan bagi mencairkan hati si wanita tanpa menyedari mereka ‘berkasih’ dengan Awang Hitam.

Mereka hanya menjual air liur dan pandai bermain kata-kata sehingga si wanita sanggup serahkan wang ringgit walaupun tidak pernah bersua muka.

Persoalannya kenapa golongan ini begitu terdesak dan terlalu mudah menyerahkan wang tanpa menyelidik terlebih dahulu siapa kekasih misteri mereka.

Yang peliknya, si mangsa bukanlah mak cik atau kakak yang tinggal di kampung tetapi ramai yang berpendidikan tinggi dan bekerjaya hebat.

Di pihak si pelaku, mereka berasakan wanita di negara ini mudah diperdaya dan tewas dengan kata-kata romantis.

Mereka bijak mengesan kelemahan mangsa dan dari situ mula mengatur strategi dengan sabar sehingga masuk ke perangkap mereka.

Berdasarkan laporan sebelum ini, warga Afrika yang terbabit dalam jenayah ini akan mengikuti latihan
di sekolah khas bagi mendapatkan kemahiran untuk menipu.

Jika untuk menipu pun sudah ada sekolah entah jenayah apa lagi yang boleh dipelajari melalui ‘sekolah’ masing-masing.

Hari ini dunia sudah tidak selamat lagi. Orang yang mengambil langkah berhati-hati pun masih boleh menjadi mangsa, inikan pula mereka yang tiada pengalaman atau golongan yang suka bertindak gopoh.

Add Comment