Haram boikot pilihan raya – Hadi Awang

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menempelak golongan yang terbabit dalam kempen memulau pilihan raya atau merosakkan undi yang didakwa parti itu mungkin bersedia menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tindakan yang dianggap bodoh dan jahil itu mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan negara dan rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang campur tangan asing untuk menjajah semula.

Sambil menyifatkan haram bagi umat Islam terbabit dengan agenda memulau pilihan raya atau merosakkan undi, beliau berkata tindakan itu adalah jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih baik sama ada menjadi pemerintah atau pembangkang yang menasihati.

“Haram bagi umat Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi kerana menarik diri daripada menjadi teras kepimpinan umat yang wajib demi menegakkan Islam dalam pemerintahan negara.

“Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi antara dosa paling besar. Perkara inilah yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam negara atau di luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pilihan raya adalah alat bagi memilih pemimpin yang wajib dalam kehidupan bermasyarakat dan menjadi sebahagian daripada syariat Islam.

Beliau berkata, Allah mewajibkan adanya kumpulan dalam kalangan umat Islam yang melaksanakannya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan amar makruf dan nahi munkar (menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Katanya, Allah melaknat kaum Bani Israel apabila tidak menunaikan kewajipan ini yang disebut melalui firman-Nya dalam Surah Al-Maidah ayat 78-79.

Dalam fekah muamalah politik, beliau berkata, Islam mendahulukan cara aman dan damai, menarik sebanyak mungkin dalam dakwah yang dilindungi oleh negara dan membuktikan Islam itu adil terhadap semua, maka konsep demokrasi adalah paling tepat.

“Kebetulannya pula pembaharuan demokrasi barat adalah dipengaruhi oleh fekah politik Islam, hasil kajian para orientalis yang menciplak ajaran Islam, walaupun tidak sempurna.

“Kelemahan dan salah lakunya hendaklah dibetulkan, bukannya membatalkannya atau dipulaukan. Tindakan pemulauan atau merosak kertas undi adalah menempah kepada keburukan yang lebih besar mudaratnya apabila melakukan pilihan lebih besar mudaratnya kepada negara dan umat.

“Laksana kebodohan terhadap seorang yang memilih perjalanan meredah hutan rimba yang sukar dan berbahaya kerana tidak bersetuju dengan jalan raya yang tidak diturap dengan sempurna,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah bagi menegakkan negara yang mendaulatkan Islam dan apabila berlaku kewafatan Baginda selepas al-Quran disempurnakan, maka sahabat dan pengikutnya yang setia berhimpun, sehingga sebahagian besarnya tidak menyertai upacara pengebumian.

Beliau berkata, mereka mengemukakan tiga calon dan akhirnya memilih Saidina Abu Bakar iaitu calon paling layak yang berilmu dan berakhlak daripada kabilah Quraisy, kaum yang mendominasi masyarakat majmuk pada zamannya.

“Kehadiran mereka dalam perhimpunan memilih khalifah itu adalah pilihan raya umum yang kewajipannya sehingga lebih penting daripada pengebumian jasad Rasulullah SAW yang sangat mulia.

“Ulama tafsir, hadis dan fekah menegaskan bahawa perkara ini menjadi wajib berdasarkan nas al-Quran, Hadis Mutawatir, Ijma’ ulama, para sahabat dan tabien,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Add Comment