Hadiah TMJ Buat Penyokong Setia JDT

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menerima penghargaan ucapan tahniah menerusi papan LED di beberapa siri perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara langsung pada 23 September ini.

Pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, paparan selama tiga minit itu akan dibuat di stadium pasukan yang bermain dalam liga berkenaan selepas majlis JDT menjulang trofi Liga Super pada 20 September depan.

Menurutnya, beberapa siri perlawanan EPL di England akan terpapar ucapan tahniah kepada pasukan JDT yang menjuarai Liga Super Malaysia untuk empat tahun berturut-turut.

“Itulah hadiah saya kepada penyokong JDT di luar negara dan dalam negeri, saya letakkan Kelab Bola Sepak JDT dan juga negeri Johor di mata dunia.

“Kalau ini pun masih ada pihak yang nak menafikan JDT berada dalam kelasnya tersendiri dengan pencapaian dalam dan luar padang, maka lebih baik anda pergi selam sampai ke Sri Lanka,” katanya menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

Tunku Mahkota Johor itu membuat pengumuman tersebut sambil mengulas mengenai terdapatnya segelintir pihak yang sentiasa mempertikai kejayaan yang diraih jaguh selatan tanah air tersebut sepanjang pembangunan drastik dilakukan beberapa tahun ini.

“Sedih juga apabila terdapat sesetengah pihak cuba untuk menjatuhkan atau mempertikaikan imej dan pencapaian JDT, lihatlah ketika mereka berusaha mencemarkan nama baik kelab, semakin banyak penaja, pemimpin dunia bola sepak luar negara hadir memberi pengiktirafan kepada kami.

“Anda boleh benci saya ataupun JDT, anda boleh sayangi saya dan JDT, tetapi apabila anda cuba mempertikaikan kejayaan yang kami ada itu menunjukkan anda kurang bijak kerana pengiktirafan yang datang melimpah ruah adalah daripada luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menegaskan dirinya juga tidak terjejas dengan segala tohmahan yang diberikan kerana hasratnya hanya mahu menaikkan mutu bola sepak selain terus berusaha memperkenalkan jenama pasukan JDT di persada antarabangsa.

“Apabila ramai pihak yang cuba mencemar nama baik saya, atau membuat satu senario seolah-olah ia adalah satu kempen antara saya dan seseorang individu, nasihat saya kepada mereka teruskanlah perjuangan tersebut.

Itu adalah kerana saya tidak memerlukan undi kerana saya memang akan jadi siapa saya di negeri ini selain akan sentiasa membimbing serta berkhidmat untuk rakyat dan negeri Johor

Sumber : Sinar Harian

 

Artikel Asal :  HADIAH SAYA KEPADA BANGSA JOHOR, NEGERI JOHOR DAN PENYOKONG JDT

Suatu masa dahulu, saya pernah mengatakan berkenaan saya ingin JDT dan Negeri Johor berada di mata dunia. Visi ini telah ditetapkan oleh Almarhum moyang saya lagi, iaitu Sultan Sir Abu Bakar membabitkan jalinan perhubungan erat bersama para pemimpin dunia daripada negara luar.

Saya bagi contoh terdekat pada masa kini, berapa ramai delegasi dunia, delegasi asing (luar negara) yang telah datang ke negeri Johor bagi menzahirkan rasa hormat mereka kepada DYMM Sultan Johor. Negeri Johor kini bukan sahaja dikenali sebagai peneraju, tetapi juga dengan sistem pentadbiran kerajaan yang baik, ekonomi dan juga termasuklah menjadi pendahulu dalam sukan nombor satu negara pada masa kini iaitu bola sepak, dan itu adalah pasukan JDT.

Perkembangan adalah keutamaan kami. Dan saya ingin berterima kasih kepada semua Bangsa Johor termasuk penyokong JDT yang berada dalam negara ataupun dari negeri lain, kerana tanpa sokongan anda kami tidak akan berada di sini sekarang. Visi saya dari awal cukup jelas, iaitu bukan sahaja sekadar mempunyai pencapaian dalam padang tetapi juga di luar padang dari segi imej misalnya, di mana dunia akan sentiasa memberi pengiktirafan yang tertinggi.

Sedih juga apabila terdapat sesetengah pihak cuba untuk menjatuhkan atau mempertikaikan imej dan pencapaian JDT dan negeri Johor Darul Ta’zim. Walaubagaimanapun, lihatlah apabila mereka cuba berusaha mencemarkan nama baik Kelab Bolasepak JDT yang mewakili negeri Johor, semakin ramai yang bukan sahaja para penaja tetapi juga pemimpin-pemimpin dunia bola sepak di luar negara hadir memberi pengiktirafan tertinggi kepada pasukan bola sepak JDT.

Anda boleh benci saya ataupun JDT, anda boleh sayangi saya dan JDT, tetapi apabila anda cuba mempertikaikan kejayaan JDT, itu menunjukkan yang anda kurang bijak. Ini kerana pengiktirafan yang datang melimpah adalah daripada luar negara di waktu segelintir orang dalam negara masih cuba menafikannya.

Negeri Johor juga adalah sahabat kepada kerajaan persekutuan, yang paling banyak membantu kerajaan dalam banyak segi iaitu dari segi ekonomi dan juga pentadbiran. Oleh itu, sesiapa yang berkhidmat dalam parti politik yang mentadbir kerajaan perlulah ingat bahawa mereka mentadbir dan mereka berpegang kepada institusi negara dan bukanlah kerana kepentingan peribadi.

Apabila ramai juga yang cuba mencemar nama baik saya, atau mencuba membuat satu senario seolah-olah ia adalah satu kempen antara saya dan seseorang individu, nasihat saya kepada mereka adalah teruskanlah perjuangan tersebut. Kerana saya tidak perlukan undi dan saya tetap jadi siapa yang saya akan jadi di negeri Johor dan akan sentiasa membimbing dan berkhidmat untuk rakyat dan negeri Johor.

Walau apa pun, negeri Johor merupakan negeri yang telah banyak memberi manfaat kepada institusi negara. Janganlah sampai kerana disebabkan oleh beberapa individu tertentu, rakyat negeri Johor rasa menyampah untuk menyokong kerajaan. Ini hanyalah pandangan daripada orang kerdil macam saya.

Sekarang berbalik semula kepada bola sepak. Pada 20hb September 2017, kami akan menjulang piala Liga Super dan akan berkongsi serta bersama-sama menyambutnya besar-besaran dengan Bangsa Johor sekalian dan juga penyokong JDT daripada negeri lain atau negara luar. Kami juga telah menerima berita baik daripada penaja serta rakan kongsi kami untuk masa akan datang dan kami akan umumkan kepada penyokong dalam masa terdekat.

Saya ada satu hadiah kepada rakyat Bangsa Johor dan juga kepada penyokong JDT. Seperti ramai sedia maklum, English Premiere League (EPL) memiliki hampir 375 juta ‘reach’ dan lebih berbilion ‘viewers’. Dan pada 23 September iaitu tiga hari selepas kita mengangkat piala, beberapa siri perlawanan EPL di England akan terpapar ucapan tahniah kepada pasukan JDT yang menjuarai Liga Super Malaysia 4 tahun berturut-turut dan juga negeri Johor di ‘LED board’ selama 3 minit untuk dunia melihat kita.

Itulah hadiah saya kepada Bangsa Johor, negeri Johor dan juga penyokong JDT di luar negara dan negeri lain. Saya letakkan Kelab Bolasepak JDT dan juga negeri Johor di mata dunia. Dan saya juga berharap, walaupun telah jauh kami tinggalkan semua pesaing kami dari segi aspek, kalau ini pun masih ada pihak nak menafikan yang Johor berada dalam kelasnya tersendiri dengan pencapaian dalam dan luar padang, maka lebih baik anda pergi selam sampai ke Sri Lanka.

Apabila anda mengatakan yang saya tidak mampu atau tidak boleh, saya akan memalukan anda dengan fakta dan keputusan.

Kepada Bangsa Johor yang saya sayangi sekalian, dan juga penyokong JDT yang saya sayangi dan hormati, ingatlah bahawa Johor Mesti Sentiasa Jadi Johor. Muafakat itu Berkat dan Allah Pelihara Sultan. Hidup Johor.

LOVE FROM JOHOR a.k.a JUVENTUS

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Leave a Reply