Gagal majukan Kelantan, PH sedia gulingkan PAS, kata Dr M

MACHANG: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yakin gabungan pembangkang pada pilihan raya akan datang mampu menggulingkan kerajaan PAS di Kelantan, yang menurutnya kaya dengan sumber alam dan rakyat tetapi warganya terpaksa bekerja di negeri orang.

“Kemajuan Kelantan terhalang kerana kita perlu ada kecekapan,” kata bekas perdana menteri itu membidas kebolehan pentadbiran PAS sekarang ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian PH Kelantan di Machang hari ini. Kira-kira 1,000 orang hadir ke majlis itu.

“Kelantan negeri termiskin sebabnya sumber alam memang ada, tenaga manusia memang ada dan cukup baik, tapi oleh kerana pemerintah tidak tahu bangunkan Kelantan, ramai orang Kelantan terpaksa bekerja di negeri lain.”

Beliau berkata tadbir urus kerajaan memberi kesan kepada peluang pekerjaan di satu-satu tempat, dan ketiadaan peluang antara sebab penghijrahan keluar rakyat.

“Saya dapati sekarang ini ramai juga orang Melayu yang tak suka tinggal di negara mereka. Sekarang ini berada di Australia bekerja sebagai buruh kerana di sini tiada peluang,” katanya.

Dr Mahathir hari ini menjejakkan kaki ke Kelantan yang merupakan kubu kuat PAS, bagi melancarkan penubuhan gabungan pembangkang.

Walaupun keadaan berlumpur di lokasi perasmian susulan hujan lebat sebelum majlis bermula, ia tidak menghalang bekas perdana menteri itu memenuhi jemputan sebagai tetamu khas.

Di majlis itu, Dr Mahathir dalam ucapannya tidak menghakimi pengundi yang mengambil sumbangan daripada Umno, namun menggesa mereka mengundi PH pada PRU14.

“Nak ambil duit dari Umno ambil la, tapi undi kita jangan beri, kita undi Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu yakin rakyat Kelantan cerdik dan pandai membuat pilihan parti mana mahu diberi mandat mentadbir negeri.

Katanya, sudah masanya rakyat Kelantan menukar pemimpin kerajaan Kelantan kepada Pakatan Harapan.

 

Sumber : FreeMalaysiaToday.Com

 

Leave a Reply