ANTARA PRESTASI DAN PERSEPSI???

Apabila menyebut soal pembentukan pasukan sudah pasti aspek prestasi menjadi aspek pertama yang harus dinilai. Pasukan yang kuat memerlukan kumpulan pemain yang memiliki prestasi yang baik.

Berdasarkan iklim bola sepak Malaysia, hanya dua cara untuk membentuk pasukan yang kuat. Cara pertama dengan memborong pemain-pemain terbaik yang ada dalam negara, cara kedua pula ialah dengan membina pasukan berasaskan pemain muda.

Cara memborong pemain-pemain terbaik tempatan adalah jalan pintas dan memerlukan dana yang banyak. Cara sebegini tak mampu dilakukan Kelantan kerana Presiden KAFA sendiri telah menegaskan KAFA memiliki dana yang terhad. Sedangkan pemain terbaik tempatan agak terhad dan pastinya dengan dana yang terhad akan menyukarkan KAFA untuk berebut dengan pasukan-pasukan lain. Sekiranya cara ini menjadi pilihan KAFA, tidak mustahil episod tunggakkan gaji akan dihadapi Kelantan.

Tiada pilihan buat Kelantan melainkan membina pasukan berasaskan pemain muda dengan dibantu beberapa pemain senior yang masih menunjukkan prestasi yang baik.

Indra sebagai contoh antara pemain senior yang wajar dikekalkan Kelantan untuk maksimun satu musim lagi. Indra mampu memberi nilai tambah buat pasukan sekiranya aksi musim ini menjadi ukuran. Sifat kepimpinan pemain ini pastinya mampu membimbing pemain-pemain muda.

Untuk musim ini, Piya jelas bergelut dengan prestasi dan buktinya pemain ini sekadar terlibat 43.7% dalam semua pertandingan musim ini. Mungkin Piya boleh dikekalkan lagi musim hadapan tetapi dengan meletakkan sedikit syarat pemotongan gaji. Contoh terbaik boleh diambil daripada Chelsea yang mengambil langkah memotong gaji Terry sebagai syarat pemain itu kekal. Langkah sebegini bakal meringankan sedikit bebanan kewangan pasukan.

Kelantan mungkin terpaksa mengambil langkah kurang popular keatas Norfarhan. Untuk rekod Norfarhan berhadapan krisis kecederaan berpanjangan. Dengan umur yang akan mencecah 34 tahun, agak sukar untuk pemain ini kembali kepada prestasi sebenarnya.

Pasukan yang kuat tak boleh dibina dengan sekadar persepsi sejarah kehebatan beberapa pemain. Apabila tiba masanya legend perlu meninggalkan pasukan. Apabila Itali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, Buffon mengumunkan persaraannya untuk memberi ruang dan peluang kepada pemain muda. Terry, Lampard dan Gerrard juga meninggalkan pasukan kerana mereka meletakkan survival pasukan lebih penting daripada survival peribadi mereka.

Sumber : redempire03

Add Comment