Adakah Memiliki Ijazah Menjanjikan Kejayaan Masa Depan?

Artikel kali ini adalah hasil penulisan oleh salah seorang penyumbang kepada majalah Forbes, iaitu Erika Andersen yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Moga bermanfaat untuk semua.

Perkongsian Seorang Ibu Tentang Anak-Anak Beliau

Saya mempunyai 3 orang anak. Salah seorang daripadanya mempunyai segulung sarjana dalam Masters of Science in Teaching, seorang lagi baru sahaja menamatkan universiti dalam bidang perubatan, dan anak bongsu saya berhenti belajar ketika di tahun 2 universiti.

Namun, anak bongsu saya bakal membuka sebuah kafe dan bar di Brooklyn, New York City. Seperti yang saya fikirkan, mempunyai ijazah tidak menjanjikan kejayaan, tidak mempunyai ijazah tidak juga menjanjikan kegagalan.

Saya baru sahaja membaca sebuah artikel di Forbes, iaitu ‘Ten Smart Things I Learned From People Who Never Went to College’ oleh David DiSalvo. Di dalam artikel tersebut, David menyebut tentang kebijaksanaan orang yang beliau kenal, termasuklah saudara-mara beliau, yang tidak pernah belajar di universiti.

Saya perasan kebanyakan daripada isi-isi di dalam senarai artikel beliau boleh jadi diajar kepada beliau oleh mereka yang sebenarnya telah belajar di universiti.

Dalam kata lain, kebijaksanaan, pemahaman dan kecerdasan bukanlah ada kaitan dengan berapa lama tempoh kita belajar di institusi pendidikan.

Saya selalu berfikir, terutamanya di Amerika Syarikat, kita terlalu bergantung dengan tempoh masa seseorang belajar di sekolah atau universiti sebagai kayu pengukur kepandaian seseorang, atau kebolehan seseorang bekerja.

Jangan salah faham, sesetengah karier pastinya memerlukan pengajian yang mendalam serta terperinci, umumnya bagus sekiranya dipelajari di persekitaran seperti universiti.

Saya gembira melihat anak perempuan tiri saya belajar di salah sebuah universiti perubatan yang bagus, dan beliau mengambil banyak subjek sains ketika di sana. Memang tidak dapat saya bayangkan bagaimana beliau boleh menjadi doktor yang baik tanpa asas pengajian di universiti.

Namun, bagi perkerjaan-pekerjaan lain, kita selalu mempunyai tanggapan bahawa ijazah adalah suatu keperluan walaupun ia sebenarnya tidak membantu.

Contohnya, beberapa tahun lalu, saya bekerja bersama Jabatan Sumber Manusia di Taco Bell (rangkaian restoran makanan) bagi menghasilkan sebuah kurikulum pengurusan untuk pengurus stor.

Saya bekerja dengan Direktor Sumber Manusia yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut. Beliau sangat komited terhadap idea bahawa ijazah universiti perlu dijadikan kelayakan minima.

Apabila saya mempersoalkan tentang keperluan kelayakan tersebut, rasional beliau adalah memiliki segulung ijazah membawa maksud seseorang itu mempunyai komitmen untuk belajar, dan mempamerkan suatu tahap kecerdasan yang diperlukan bagi pekerjaan tersebut.

Saya tidak bersetuju dengan idea tersebut. Saya menarik keluar 2 permohonan dan meletakkan bersebelahan. Satu permohonan adalah daripada seorang graduan lelaki berusia 23 tahun yang mempunyai pengalaman 1 tahun sebagai kerani jualan runcit, dengan rujukan yang tidak meyakinkan.

Seorang lagi adalah seorang wanita kulit hitam berusia 31 tahun yang hanya mempunyai pendidikan sekolah menengah namun mempunyai pengalaman 8 tahun dalam industri servis makanan, 2 tahun sebagai pengurus, dengan rujukan yang sangat baik.

Saya bertanya kepada Direktor tersebut, “Sekiranya anda letak sebelah kelayakan ijazah, calon manakah yang lebih layak?”. Dengan keengganan, beliau bersetuju wanita tersebut adalah calon yang lebih baik daripada banyak segi.

Saya juga perasan disebabkan kita terlalu menekankan keperluan ijazah, mereka yang tidak pernah ke universiti pasti berasa teruk, dan kehilangan keyakinan diri ini akan menjadi penghalang kepada kejayaan mereka.

Saya mempunyai calon yang meminta maaf kerana tidak mempunyai ijazah, sedangkan apa yang perlu mereka lakukan adalah fokus kepada pengalaman dan skil serta pengetahuan yang dimiliki daripada kerja sebelum ini.

Kesimpulan
Akhir sekali, saya yakin terdapat mereka di luar sana yang merasakan bahawa universiti bukanlah tempat terbaik untuk mereka belajar, dan saya adalah salah seorang daripada mereka.

Saya meninggalkan universiti ketika di tahun akhir, dan telah membina sebuah kehidupan yang indah dan berjaya untuk diri saya. Begitu juga dengan anak bongsu saya.

Beliau datang kepada saya ketika berada di tahun 2 dan berkata, “Ibu, semua ini buang masa dan duit ibu saja. Ini bukanlah cara terbaik untuk saya belajar menjadi seorang dewasa,”

Beliau meninggalkan universiti, dan terus bekerja di restoran, dan kini beliau bakal membuka sebuah restoran beliau sendiri bersama 2 orang rakan kongsi. Beliau jenis yang belajar melalui praktikal.

Selain itu, beliau membentuk hubungan baik dengan orang daripada pelbagai latar belakang dan memperolehi banyak pengalaman dan skil yang beliau mahukan melalui pembacaan, perbualan dan pemerhatian.

Jadi, belajarlah di institusi pendidikan sekiranya anda mahu melakukan sesuatu yang memerlukan pembelajaran yang boleh diperolehi di sana.

Tetapi sekiranya anda tidak berkemampuan ke universiti, atau perlu menyara keluarga, jangan berasa teruk dan malu. Jangan biarkan ia menjadi penghalang.

Anda masih boleh belajar, berkembang dan membina kehidupan yang baik untuk diri anda, dan menjadi inspirasi kepada mereka di sekeliling anda.

Ulasan Penulis

Bagi penulis sendiri, proses pembelajaran sebenarnya bukan ada di sekolah mahupun universiti sahaja. Proses pembelajaran itu ada di mana-mana, dan selagi kita hidup, kita akan terus belajar. Akan ada sahaja benda baru yang boleh kita belajar.

Tidak semua daripada kita mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke universiti. Mempunyai ijazah tidak bermaksud kita pandai ataupun layak dalam sesuatu bidang.

Sekiranya anda memiliki ijazah, tahniah. Dan sekiranya sebaliknya, jangan berasa rendah diri. Berdasarkan sejarah, ramai mereka yang tidak ke universiti, ataupun ke universiti tetapi tidak menamatkan pengajian tetap berjaya dalam hidup.

Contoh yang paling umum adalah Bill Gate, Steve Jobs, Mark Zuckerberg dan ramai lagi. Mereka tidak mempunyai ijazah, namun mereka tahu akan hala tuju hidup mereka, apa yang mereka kejar dan mahukan.

“Mereka ini pandai dan genius boleh lah.” Ini adalah kata-kata mereka yang malas dan tidak mahu berjuang. Ketiga-tiga mereka berjaya bukan disebabkan mereka bijaksana, mereka berjaya kerana mereka mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi untuk berjaya dan tidak takut untuk gagal.

Contoh rakyat Malaysia yang berjaya walaupun tanpa ijazah adalah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Beliau hanya mempunyai sijil SPM sahaja. Beliau berjaya kerana beliau mahu berjaya. Usaha, usaha dan terus berusaha walaupun banyak kali gagal. Banyak yang akan dipelajari daripada kegagalan.

Di sini penulis ingin tegaskan, ilmu ada di mana-mana. Namun, itu bukanlah alasan untuk berhenti sekolah atau universiti serta-merta. Sekiranya anda rasakan universiti adalah tempat anda, makan teruskanlah. Jika bukan, lakukanlah sesuatu

Berbalik kepada persoalan tajuk artikel ini. Adakah memiliki ijazah menjanjikan kejayaan masa depan? Bagi penulis, jawapannya adalah TIDAK. Namun terpulang kepada pendapat masing-masing.

Dalam situasi lain, seorang murid yang mendapat 6A mahupun 8A dalam UPSR tidak membawa maksud beliau akan mendapat semua A bagi peperiksaan PT3 dan SPM. Begitu juga untuk situasi sebaliknya. Untuk skor dalam kedua peperiksaan ini, beliau perlu terus berjuang dan berusaha.

Firman Allah dalam Surah Ar-Rad:11 yang berbunyi:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Add Comment